PAS tetap menolak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) biarpun sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan mereka tidak pernah menolak perlaksanaan GST.

Pendirian PAS itu dinyatakan oleh naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar pada sebuah sidang media di markas induk PRK Sungai Limau di sini, hari Khamis.

Mahfuz berkata, PAS kekal dengan pendirian yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat sebelum ini untuk menolak GST yang diperkenalkan kerajaan.

"Saya tak ada waktu mereka cakap begitu. Tapi pendirian dalam Pakatan Rakyat ialah, kita membantah.

"Kita bantah kerana kerajaan tak buat sesuatu yang lain terlebih dahulu untuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan," katanya.

Walau bagaimanapun, akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Azmin Ali berkata Pakatan Rakyat tidak pernah menolak perlaksanaan GST.
Dalam laporan itu, Azmin juga berkata Pakatan menganggap GST sebagai satu sistem percukaian yang telus, efisien dan mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Tetapi, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat Rabu lalu, Azmin dalam ucapannya menyeru supaya GST jangan dilaksanakan dahulu sebelum isu rasuah dapat ditangani dahulu.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat tidak menolak kemungkinan akan meneruskan pelaksanaan GST apabila diberi mandat sebagai pemerintah pusat kelak.

Bagaimanapun, Anwar juga menegaskan perkara itu akan dilaksanakan hanya jika dua perkara utama dicapai; ketirisan perbelanjaan kerajaan ditangani dan tahap pendapatan perkapita rakyat meningkat.