Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti Islam itu tidak akan menyertai pakatan pembangkang yang baharu, lapor portal Ismaweb.

Abdul Hadi dilaporkan berkata gabungan pembangkang yang baharu atau Pakatan Rakyat 2.0 tidak mempunyai agenda memartabakan Islam sebaliknya hanya mahu memenangi pilihanraya akan datang.

"Konsep kita (Pas), mahu Islam didaulatkan dan dimartabatkan kerana kita tahu negara kita mempunyai majoriti beragama Islam," katanya kepada Ismaweb selepas menghadiri pertemuan dengan Sekretariat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di sebuah hotel di Bangi, pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertegas mahukan Pas menyertai pakatan pembangkang baharu.

Namun kenyataan berbeza diberikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang jelas menolak penyertaan Pas dalam gabungan pembangkang yang baharu itu.