Pas tidak pernah menyesal berpisah dari blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) sekalipun mereka kini dipilih untuk menerajui kerajaan pusat dan menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baharu berakhir.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas sudah mempunyai banyak pengalaman dan bukanlah aneh dalam politik apa yang berlaku ketika ini biarpun dahulu mereka pernah bersama.
“Kita tidak menyesal (tidak bersama PH), kita pernah meninggalkan kerajaan malah pernah dipecat oleh kerajaan. Itu semua kita pernah alami.
"Rebah bangun dalam politik adalah biasa kerana politik akan berubah. Dahulu mungkin kawan sekarang lawan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar (MB) Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini malam tadi.
Dengan itu jelasnya adalah amat penting dan perlu berhati-hati untuk memilih rakan politik dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas.
Ditanya sama ada kemungkinan Pas akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional beliau berkata ia bergantung kepada dasar yang ditunjangi mereka kerana Pas mempunyai dasarnya sendiri.
Beliau juga mengingatkan kerajaan pusat yang baharu menerima mandat agar sentiasa menghormati sistem demokrasi dan mengutamakan rakyat selain tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Mereka mesti menghormati demografi rakyat dan jangan pandang remeh serta dalam masa yang sama mereka perlu menghormati kerajaan negeri agar peristiwa campur tangan kerajaan pusat dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak lagi berulang.”
Beliau dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat di negeri Terengganu kerana memilih kembali Pas untuk mentadbir negeri tersebut, mengulangi apa yang pernah mereka lakukan pada 1999.