Pasangan kekasih dikenal pasti mangsa rentung di Plaza Tol Jitra

Kereta dipandu mangsa didapati hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol atau dikenali sebagai island nose. - Foto PDRM
JITRA: Identiti dua mangsa yang ditemukan rentung di dalam kereta akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra arah utara awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Pang Seng Ching, 21, dan kekasihnya, Tan Hui Shan, 20.
Seng Ching yang merupakan pemandu kereta jenis Honda Civic itu beralamat di Pauh, Perlis, manakala Hui Shan dari Jelutong, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang juga seorang peniaga hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol atau dikenali sebagai island nose.
“Kereta tersebut kemudian terbalik dan terbakar. Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kata beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tujuan bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian pemandu adalah kecederaan pada dada akibat kemalangan disertai kesan melecur teruk.
“Punca kematian penumpang pula adalah kecederaan melecur teruk serta akibat daripada penyedutan asap kebakaran kereta susulan kemalangan itu,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


