Skip to main content

Malaysia

Pasangan suami isteri tidak mengaku rotan anak hingga berbirat dan trauma

SINAR HARIAN
Pasangan suami isteri tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka terhadap pertuduhan berasingan dibacakan ke atas mereka. -Foto Sinar Harian
Advertisement

MELAKA: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak perempuannya sehingga cedera, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 36 dan 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa menganiaya anak perempuannya yang berusia sembilan tahun tiga bulan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman 1 Krubong, dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira jam 7 malam pada 19 Julai lalu.

Isterinya turut berdepan pertuduhan menganiaya anak yang sama di lokasi berkenaan sekitar jam 2 petang pada 21 Julai lalu.

Difahamkan, mangsa dirotan selepas menyebabkan adik lelakinya yang berusia enam tahun menangis selain tidak mengemas bilik tidur.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami bengkak, lebam dan berbirat pada badan serta trauma.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini dan Muhammad Qayyum Ramlan menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan.

Tertuduh lelaki memaklumkan dia mempunyai pendapatan tidak tetap sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bergantung kepada jumlah perjalanan diperoleh.

Dia turut memohon pertimbangan mahkamah kerana menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga serta menanggung isteri dan dua anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudaranya.

Sementara itu, isterinya yang merupakan suri rumah turut memohon jaminan rendah kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada suami.

Menurutnya, sepanjang mereka ditahan, anak-anak tidak dapat hadir ke sekolah kerana tiada penjaga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala isterinya RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan, terutama mangsa.

Mahkamah menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement