KUALA LUMPUR: Punca utama mengapa proses pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memakan masa empat hari adalah disebabkan sifat ego parti-parti politik.

Menurut Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Mujibu Abdul Muis, kemelut politik antara tiga buah gabungan parti politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan kepentingan perjuangan parti melebihi kepentingan rakyat.

"Saya rasa faktor terbesar adalah ego mereka, kerana mereka ini masing-masing masih lagi mampu untuk menarik serpihan sokongan untuk membentuk majoriti yang diperlukan, tetapi sehingga kini jelas ia tetap menjadi satu halangan yang besar,

"Kalau Memorandum Persefahaman (MoU) boleh ditandatangani, saya rasa ahli-ahli politik boleh menjangkaui MoU tersebut, cuma masalahnya tidak ada siapa yang sanggup merendahkan tuntutan," katanya.

Dalam hal ini, beliau merasakan ahli politik sebenarnya mampu untuk mencari jalan penyelesaian secara baik dan demokratik, malah Mujibu yakin mereka sudah cukup arif tentang bagaimana formasi kerajaan dalam Parlimen berfungsi, namun persoalannya adalah siapa di antara mereka yang sanggup untuk membuang ego?

"Walaubagaimanapun, siapa juga yang bentuk kerajaan, mereka perlu selesaikan masalah rakyat," katanya dalam rancangan Malaysia Memilih, Astro AWANI hari ini.

Pada masa sama, keadaan ketidaktentuan politik yang berpanjangan ini sudah sampai ke tahap membimbangkan di mana orang ramai mengusulkan cadangan agar Yang di-Pertuan Agong Al -Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat.

"Punyalah rakyat di luar sana tidak sabar dan sudah tidak tahan dengan keadaan yang ada sampai mencadangkan hal-hal begini," tambahnya.

Beliau membangkitkan keresahan jika hal ini menjadi gelombang yang besar, ia akan menimbulkan perkara-perkara negatif seperti ancaman anarki atau penuntutan penyelesaian secara tidak aman.

Tambah beliau lagi, semua ahli politik boleh berkompromi dan sudah tiba masa untuk membuat penilaian semula, jika mereka benar-benar percaya kepada perjuangan untuk rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan BN tidak akan menyokong mana-mana gabungan, PH atau PN untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama PH selepas keputusan rasmi PRU15 berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Pasca PRU15 | Kesan ketidaktentuan politik kepada rakyat dan ekonomi