SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor kini bersedia untuk fasa kedua proses pembersihan pascabanjir, selepas fasa pertama dijangka selesai 14 Januari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fasa kedua itu akan turut membabitkan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf infrastruktur pascabanjir.

"Fasa kedua pembersihan memfokus pada sisa tinggalan di tepi-tepi jalan, sebab ada sebahagian yang menyewa syarikat swasta seperti roro atau lori, ada ambil jalan pintas dengan buang tepi jalan. Di transfer station pun kita akan cuba selesaikan dalam tempoh dua minggu.

"Kedua, kita akan bersihkan longkang, ini tanggungjawab KDEB Waste, longkang ini bukan hanya ada sampah tapi selut juga jadi kita akan buat dalam fasa kedua, dua minggu selepas tarikh 14 Januari atau hujung minggu depan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkenaan usaha pemulihan pascabanjir disini, hari ini.



[TERKINI] Sidang media khas pascabanjir Selangor

Amirudin juga memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Khas pada Khamis telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan dan pengukuhan ban bagi mengelakkan banjir di kawasan penempatan yang berdekatan dengan sungai seperti di Hulu Langat.

"(Sebanyak) RM9.18 juta untuk 13 projek yang dikawal kelola Jabatan Pengairan dan Saliran dalam usaha pengukuhan tebing sungai, kerja pembinaan ban sungai, aras platform TNB, pembelian genset mudah alih dan penambaikan sistem amaran banjir di kawasan hotspot.

"Ini adalah kerja-kerja darurat dan perlu dibuat segera dalam tempoh sebulan. Kerajan negeri juga luluskan RM31.7 juta untuk JKR Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan, cerun dan tebing jalan.

"Kita kenal pasti RM396 juta untuk keseluruhan infrastruktur yang diperlukan JKR Selangor hasil kesan bah. Saya akan berbincang sebab ada sebahagian melibatkan jalan persekutuan dan ada juga negeri.

"Jalan negeri sahaja perlu RM275 juta, jadi kita akan bincang dengan kerajaan persekutuan juga untuk baik pulih," ujarnya.

Kerajaan negeri juga, tambah beliau, sedang meneliti senarai penuh beberapa unit rumah yang perlu dibina baharu atau dibaik pulih.

Sehingga 4 Januari, sebanyak 908 unit rumah sudah dikenal pasti dan kerajaan negeri akan melihat jenis bantuan dan sokongan yang boleh diberikan.

Turut disediakan ialah peruntukan sebanyak RM4 juta bagi program Back to School khas yang dijangka diagihkan kepada 40,000 penerima pada Februari ini.

"Kita jangkakan 40,000 penerima dan mekanisme sedang diperkemaskan," kata Amirudin lagi.