KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang serantau termasuk dolar AS berikutan minat risiko yang semakin baik, disokong oleh keyakinan yang semakin tinggi bahawa laluan melalui Selat Hormuz adalah selamat.
Pada 6 petang, mata wang tempatan turut mengukuh kepada 3.9540/9575 berbanding dolar AS daripada 3.9690/9740 semasa ditutup pada Khamis.
Advertisement
Pasaran tempatan ditutup pada 1 Mei sempena cuti umum Hari Pekerja.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata isyarat Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu bersedia untuk melindungi proses penghantaran tenaga, menunjukkan ketegangan geopolitik semakin reda sekali gus memberi ruang kepada aset berisiko untuk pulih.
Menurut laporan, Presiden AS Donald Trump berkata AS akan mula mengiringi kapal asing neutral yang melalui Selat Hormuz bermula Isnin, sambil menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan kemanusiaan” untuk melindungi negara yang terperangkap dalam konflik yang bukan berpunca daripada mereka.
AS akan menggunakan “usaha terbaiknya” untuk mengiringi kapal dan anak kapal melalui laluan terhad itu, katanya sambil memaklumkan kapal tidak akan kembali melalui laluan itu sehingga keadaan adalah selamat untuk pelayaran.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata eksekutif syarikat perkapalan akan terus berwaspada terhadap inisiatif itu berikutan maklumat yang diberikan masih terhad.
“Selain itu, tindakan sedemikian boleh memprovokasi pasukan Iran sekali gus meningkatkan ketegangan dengan AS.
“Oleh itu, peniaga dijangka memberi tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia, terutama penilaian terkini terhadap ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5186/5210 daripada 2.4907/4942 semasa ditutup Khamis lepas, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3612/3660 daripada 5.3593/3661, tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6329/6370 daripada 4.6417/6476 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1019/1049 daripada 3.1061/1103 semasa ditutup Khamis lepas, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1460/1631 daripada 12.1711/1932, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.6 daripada 228.7/229.2 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.43 daripada 6.45/6.47 sebelumnya.
-- BERNAMA