GUA MUSANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus menjalin kerjasama dengan rakan strategik iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam menyalurkan lebih 20 tan bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli, di sini, yang terputus hubungan darat susulan banjir, baru-baru ini.

Bantuan bakul makanan yang disediakan oleh Jakoa Negeri dan Pusat, dengan peruntukan lebih RM161,000 disalurkan kepada 1,076 ketua isi rumah (KIR) melibatkan 56 perkampungan Orang Asli di lima pos pedalaman dalam operasi yang berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 Januari.

.

Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Nazili Mahmood berkata, operasi digerakkan dengan kekuatan 25 anggota menggunakan sebuah pesawat kategori berat, MI-17.

"Penggunaan helikopter sangat efektif dan lebih cepat. Kalau kita lihat pos-pos contohnya, ada yang mengambil masa lebih kurang 12 ke 15 jam untuk sampai.

"Dengan menggunakan helikopter ini, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja untuk tiba di destinasi.

"Kalau kita lihat sepanjang operasi tiga hari ini (setakat Rabu), cuaca sangat baik.

"Kerjasama daripada pelbagai agensi juga sangat baik seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jakoa sendiri, yang merupakan rakan strategik kita yang sentiasa memerlukan bantuan bersama.

"Hampir 80 peratus operasi udara kita tertumpu kepada kawasan-kawasan pedalaman," katanya ketika ditemui media dalam operasi hari ketiga di Pos Belatim, di sini, pada Rabu.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Azmi Sadon.

Operasi tersebut juga melibatkan empat lagi Pos Orang Asli iaitu Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar, serta Pos Simpor.

.

Mengulas lanjut, Nazili berkata selain Jakoa, JBPM turut menjalankan kerjasama strategik dengan KKM, antaranya melaksanakan operasi penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa pesakit dari kawasan pedalaman yang sukar dilalui menggunakan jalan darat ke hospital berdekatan.

"Statistik pada 2022, yang mana JBPM membuat penerbangan sebanyak 285 jam, manakala pada 2023 sebanyak 148 jam penerbangan," ujar beliau.



Rancang Kembangkan Unit Udara Bomba

Dalam usaha memperkasakan Bahagian Udara JBPM, Nazili berkata jabatan tersebut dalam perancangan untuk mewujudkan pangkalan udara di selatan yang terletak di Senai, Johor Bahru, selain menambah pangkalan udara di wilayah Borneo melibatkan Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Ujar beliau, buat masa ini pangkalan udara JBPM beroperasi di Bertam, Pulau Pinang (bahagian utara); Wilayah Tengah di Subang, Selangor; serta Miri, Sarawak.

Selain itu, katanya, JBPM juga merancang mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi menangani kes-kes kecemasan dengan cepat.

"FOB di Pantai Timur ketika ini terletak di Wakaf Tapai, Terengganu.

"Kita masih dalam cadangan dan tengok kepada situasi semasa. Buat masa ini, JBPM masih mampu melaksanakan penerbangan (ke Gua Musang) dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang dan Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam," katanya lagi.

Jelas beliau, setakat ini JBPM memiliki sembilan aset udara dengan empat jenis MI-17, dan Agusta (lima).

"Helikopter yang kita ada ini sentiasa diselenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan dan aset paling lama ialah berusia 23 tahun.

"Aset ini boleh mencapai sehingga 30 tahun. Perolehan terbaharu ialah Agusta 189, pada 2017," tambah Nazili.


Hampir 20,000 Orang Asli Terjejas

.


Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan memaklumkan kira-kira 20,000 komuniti Orang Asli di Gua Musang terjejas akibat kerosakan jalan dan terputus hubungan.

Jelas beliau, operasi penghantaran makanan melalui udara dilaksanakan selepas mengambil kira faktor cuaca dan nasihat daripada pihak JBPM.

"Untuk bantuan melalui laluan darat (di kawasan yang tidak terputus hubungan), kita telah laksanakan sejak minggu lalu lagi.

"Kita terpaksa mengambil kira faktor masa untuk menghantar bantuan ini, maka rakan strategik kami yang terbaik ialah JBPM.

"Jumlah keseluruhan yang terjejas hampir 20,000 (termasuk yang boleh dilalui jalan darat). Tetapi ada bahagian yang tidak terjejas teruk. Misalnya, Kuala Betis masih boleh kami sampaikan melalui jalan darat," katanya.

Susulan banyak jalan rosak, Zarina menasihatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Kelantan, agar berhubung dengan Jakoa bagi membolehkan penyaluran bantuan diuruskan.