JERTIH: Pasukan Penyelamat Kelab 4X4 Belantara Besut (Belantara) terpaksa meredah banjir sedalam satu meter dengan kenderaan pacuan empat roda masing-masing dalam usaha memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara di sekitar Hulu Besut, di sini pada Isnin.

Presiden Belantara Wan Nadzlin Wan Mohamed berkata sebanyak lima kenderaan pacuan empat roda milik anggota kelab itu secara sukarela terlibat dalam usaha memindahkan mangsa di sekitar Felda Tenang ke Sekolah Kebangsaan Felda Tenang, selain penduduk di Kampung Batu 13 bermula 12 tengah hari hingga 6 petang semalam.

"Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti lokasi yang perlu dituju bagi misi bantuan memindahkan penduduk kampung yang terkesan banjir.

"Sukarelawan kami perlu meredah air hingga ke paras cermin kenderaan untuk sampai ke kawasan terjejas," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Wan Nadzlin berkata bagaimanapun kesemua kenderaan itu tidak mengalami kerosakan kerana telah diubah suai untuk meredah kawasan air yang dalam.

"Apabila kami dapat masuk ke kawasan yang boleh dilalui oleh kenderaan kami, jadi anggota keselamatan dapat menumpukan tugas menyelamat mangsa di kawasan yang lebih teruk terjejas banjir.

"Pasukan kami bersedia sepanjang masa untuk menghulurkan bantuan sekiranya banjir berterusan, lebih ramai ahli akan terlibat dalam misi pemindahan ini atau tugas menyelamat lain," katanya.

-- BERNAMA