KOTA KINABALU: Sabah akan menggerakkan pasukan khas bagi membantu pendaftaran penerima vaksin terutama di pedalaman.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, pasukan itu dianggotai pejabat daerah dan kakitangan Jabatan Kesihatan Sabah bagi memastikan masyarakat di kawasan itu mendaftar sebagai penerima.

"Kita juga sedar bahawa mungkin di Sabah ada kawasan-kawasan yang mempunyai liputan internet yang terhad.

"Oleh itu, kita gerakkan pasukan-pasukan kita melalui Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan sebagainya untuk menemui kumpulan sasar ini secara bersemuka dan juga daftar secara manual," katanya.

Tambah beliau, setakat ini hanya 286,000 individu di negeri ini yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin.

Sementara itu, Sabah hari ini telah menerima sebanyak 9,040 dos vaksin Sinovac yang tiba di bangunan MASKargo, Kota Kinabalu pada pukul 11:45 pagi tadi.

Sabah sebelum ini telah menerima sebanyak 60,840 dos daripada vaksin jenama Pfizer-BioNTech.