Satu pasukan khas akan membuat penilaian berhubung jumlah kerosakan di kawasan yang terlibat dengan serangan pengganas Sulu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan, keputusan untuk mengisytiharkan kawasan terlibat selamat, bergantung kepada proses penilaian tersebut.

Menurut Khalid, proses penilaian tersebut akan disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), pegawai daerah Lahad Datu dan polis.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memaklumkan, proses penilaian akan dimulakan di Kampung Tanduo.

Beliau juga mengakui operasi pembersihan kawasan akan mengambil masa disebabkan faktor muka bumi, seperti kawasan paya, semak samun, aktiviti musuh serta pertempuran yang berlaku di kawasan terlibat.