KUALA LUMPUR: Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala,  Datuk Norman Muhamad dijangka tiba melalui jalan darat dari Beirut malam ini.

Pasukan itu yang berlepas pada Selasa, turut disertai 20 ahli yang terdiri daripada wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta wakil Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan MERCY Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan pasukan ini ditugaskan untuk mendapatkan gambaran sebenar dan membuat penilaian mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan, selain membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria, termasuk mengenal pasti laluan yang selamat bagi misi penghantaran bantuan.

Sementara itu, dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersiap sedia untuk berlepas ke Damsyik pada 18 Februari ini bagi membawa bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang mahu menyumbangkan barang keperluan boleh berbuat demikian dengan menghantar ke pusat pengumpulan di bawah seliaan NADMA dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), manakala sumbangan tunai pula boleh disalurkan ke Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN).