KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme dalam kalangan rakyat perlu dipupuk secara konsisten sepanjang tahun menerusi kandungan media, program komuniti dan penglibatan pelbagai pihak, bukan hanya ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).
Profesor Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, usaha memupuk semangat cintakan negara perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan harian, bukan sekadar kempen bermusim yang tertumpu pada bulan Ogos.
Beliau berkata, media merupakan medium berpengaruh dalam membentuk pemikiran masyarakat dan mempunyai tanggungjawab untuk terus menyiarkan kandungan yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan serta jati diri rakyat.
"Media boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan semangat patriotisme kerana ia ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kandungan yang disampaikan pula perlu bersifat positif dan mampu membangkitkan semangat cintakan negara," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Peranan Media: Bangkitkan Semangat Patriotisme Rakyat, di sini, pada Isnin.
Azizul berkata, dengan kepantasan media sosial menyebarkan maklumat, kerjasama antara media tradisional dan platform digital perlu diperkukuh bagi memastikan kandungan yang sahih serta berimpak dapat disampaikan kepada masyarakat.
Beliau berkata, pelbagai kisah yang memaparkan semangat perpaduan, tolong-menolong, kejayaan masyarakat majmuk serta aktiviti komuniti berlaku setiap hari, namun tidak semuanya diketengahkan sebagai bahan berita.
"Patriotisme tidak semestinya berkaitan dengan sambutan Hari Kebangsaan sahaja. Banyak aktiviti harian yang mencerminkan semangat cintakan negara, cuma kita perlu bijak mengenal pasti dan membingkainya agar mampu memberi inspirasi kepada masyarakat," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak kandungan berunsurkan patriotisme diterbitkan dalam bentuk yang dekat dengan masyarakat, termasuk drama, filem, dokumentari, kuiz sejarah dan pertandingan lagu patriotik, supaya mesej berkenaan dapat disampaikan secara lebih kreatif, khususnya kepada generasi muda.
Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, usaha memupuk semangat patriotisme memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat.
Beliau berkata, platform media sosial juga perlu dimanfaatkan secara lebih berkesan menerusi kandungan kreatif seperti kempen digital, muzium maya, dokumentari sejarah, pertandingan dalam talian dan program komuniti yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum serta generasi.
“Pendekatan itu bukan sahaja mampu memperkukuh semangat cintakan negara, malah dapat menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam memupuk perpaduan dan jati diri nasional sejak usia muda,” katanya.
-- BERNAMA