KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa hanya jurucakap yang dilantik oleh Presiden UMNO dibenarkan bercakap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berlangsung bermula Sabtu.

Ujarnya dalam kenyataan yang di muat naik di laman Facebooknya, jurucakap yang dipilih (sebelum ini) telah dibatalkan dan digantikan dengan jurucakap yang dilantik Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

"Insya-Allah, PAU2020 (adalah) perhimpunan paling tersusun dan paling pendek. Perwakilan dengar saja di bahagian masing masing.

"Hanya enam teratas (pemimpin) hadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai penonton. Jurucakap yang dipilih semua sudah dibatalkan, sudah digantikan. Hanya orang yang dilantik Presiden (UMNO) boleh bercakap," katanya.

Tambah Annuar, UMNO yang kini menjadi kerajaan perlu menyertai pilihan raya umum sebagai kerajaan dan muncul menang menjadi sebahagian kerajaan.

"Bagi saya, saya kekal berpendirian UMNO perlu memimpin penyatuan dan kesatuan orang Melayu dan parti-parti Melayu. UMNO perlu terus bersikap terbuka dan binjaksana berunding sehingga saat akhir.

"UMNO yang kini menjadi kerajaan, perlu menyertai pilihan raya umum sebagai kerajaan dan muncul menang menjadi sebahagian dari kerajaan. UMNO perlu konsisten menolak PH, khususnya Anwar dan DAP, UMNO perlu terus fokus kepada agenda bela rakyat khususnya kepentingan orang Melayu dan Islam," jelasnya lagi.

Malah parti itu ujar Annuar perlu mengelak menjadi parti yang semakin berpecah, kerana ia akan menghancurkan UMNO.

Sebaliknya parti itu tambahnya lagi, perlu memperagakan nilai kepimpinan yang berkualiti nasional dan antarabangsa serta diyakini memimpin negara.

"Sekiranya UMNO tersalah pimpinan, tersalah pilih formula untuk menang, UMNO bakal bakal terjerumus ke posisi yang makin terpinggir dan kebangkitan semula UMNO menjadi sukar.

"Malah UMNO bakal tenggelam dari arus perdana politik negara, terserahlah pada PAU menentukannya... atau sebenarnya telahpun ditentukannya... terima sahaja," katanya lagi.

Sementara itu, Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Annuar itu turut menyatakan bahawa Presiden UMNO mempunyai hak berbuat demikian.

"Itu hak Presiden dan pendapat yang dikongsi bersama, jadi apa-apa pun kalau tidak setuju pun, kita kena terima hakikatnya sistem kita.

"Presiden ada kuasa untuk menentukan pembahas-pembahas," jelasnya ketika ditemui media pada Sabtu.