MALAYSIA
Paul Yong terkejut keputusan sabitan rogol kekal, perasaan keluarga hancur

Menurut peguam, ahli keluarga menyangka bekas pemimpin DAP itu akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman terbabit. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong terperanjat apabila diperintah ke Penjara Kajang oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu berhubung kesalahan merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, perasaan isteri, anak-anak dan ahli keluarga Paul Yong, 55, turut sangat hancur selepas mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak dan Mahkamah Rayuan di sini.
Ketika ditemui di luar mahkamah, beliau berkata, mereka menyangka bekas pemimpin DAP itu akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman terbabit.
Katanya, ahli keluarga pemimpin politik berkenaan sentiasa hadir dalam prosiding dan mendengar setiap hujahan serta fakta kes.“Paul Yong tidak menyangka dan terkejut dengan keputusan ini, malah ia menghancurkan perasaan ahli keluarga.
“Isteri anak guam masih tidak boleh menerima hakikat berkenaan selain mengekalkan pendirian bahawa Paul Yong sama sekali tidak bersalah,” katanya yang hadir bersama peguam-peguam, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.
Ditanya sama ada pembelaan akan memfailkan semakan sabitan dan hukuman, beliau berkata, isu berkenaan perlu dibincangkan dengan Paul Yong terlebih dahulu.
Katanya, satu-satunya langkah yang boleh diambil ialah menggunakan hak berkenaan, di bawah undang-undang yang tersedia.
“Kami menghormati keputusan mahkamah yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, namun pasukan pembelaan perlu mengkaji semula keputusan penghakiman itu dengan teliti.
“Pembelaan juga akan melihat sama ada terdapat merit sebelum kami memfailkan permohonan untuk semakan, jadi kita perlu berbincang dengan keluarganya,” katanya.
Pada Rabu, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan akhir Paul Yong untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman berkenaan.
Dalam prosiding ini, Paul Yong selaku perayu diwakili peguam-peguam, Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.
Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.
Perbicaraan bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Dia diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.
Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.
Tidak berpuas hati dengan keputusan panel hakim, ahli politik berkenaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan empat hari kemudian iaitu pada 5 Mac. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami