AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan agihan baucar barangan elektrik sebanyak RM300 kepada 1,000 keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di Johor dan Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif di bawah program Payung Rahmah yang menyasarkan kumpulan miskin tegar dan golongan B40 itu akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“KPDN melalui SSM bersetuju untuk memperuntukkan baucar bernilai RM300 kepada 1,000 mangsa banjir di Johor dan juga sebahagian lagi di Pahang.

“Baucar itu untuk mereka membeli barang-barang keperluan seperti mesin basuh dan peti sejuk atau pun peralatan elektrik lain yang telah musnah akibat bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Baharu SSM Melaka, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat pengeluar elektrik untuk menawarkan barangan keperluan itu dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Katanya, pihaknya juga akan mengenal pasti golongan yang benar-benar memenuhi kriteria miskin tegar untuk menerima manfaat inisiatif baharu di bawah program tersebut.

“Kita telah berkolaborasi dengan syarikat pengeluar elektrik yang mana mereka akan mengemukakan harga tawaran.

"Jadi apabila syarikat ini menjual dengan harga diskaun, KPDN akan bantu pula penerima dengan baucar RM300.

“Mereka boleh beli peralatan baHAru yang telah musnah akibat banjir dan sekarang kita akan dapatkan data tepat supaya baucar ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, di Johor pihaknya akan memberi tumpuan di kawasan yang terjejas teruk seperti di daerah Segamat dan Batu Pahat manakala di kawasan bandar petugas terlibat akan mengumpul data tepat.