Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) negeri Sarawak akan menampilkan sekurang kurangnya 10 muka baru bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Parti itu juga akan bertanding di 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu nanti.

Menurut Presiden PBB, Tan Sri Dr Adenan Satem ia berikutan lima daripada penyandang akan mengundurkan diri secara sukarela pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Adenan, yang juga Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, di sini hari ini.


Bagaimanapun, Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak turut memaklumkan yang mereka belum lagi memutuskan untuk meletakkan calon-calon baru tersebut di kerusi mana daripada 11 kerusi baru.

Ketika ini, empat parti komponen BN Sarawak ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Dalam PRN lepas pada April 2011, PBB diagihkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP (8).

Adenan turut membayangkan PRN sudah semakin hampir apabila dengan jelas menyebut persidangan DUN mulai esok merupakan sidang terakhir sebelum pilihan raya negeri itu.