SHAH ALAM: Pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sesuai dilaksanakan mengikut pendirian politik kerana akan menimbulkan kecelaruan yang merugikan rakyat dan negara.

Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, ia berdasarkan pengalaman beliau berkhidmat dalam beberapa PBT.

“Ada kerajaan tempatan yakni PBT yang hampir muflis kerana segala aktiviti untuk cukai pintu tidak disokong oleh ahli-ahli majlis yang hendak menjaga populariti politik mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Isu berkaitan ahli majlis kerajaan tempatan mendapat perhatian ramai apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras menggesa kerajaan mengembalikan Pilihan Raya PBT.

Pemilihan ahli majlis ketika ini dibuat oleh kerajaan negeri berdasarkan pencalonan daripada parti politik.

Wan Mahmood menambah, Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan 1970 memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk memberi arahan kepada kerajaan tempatan.

Jelas beliau, jika kedua-duanya dikuasai kumpulan politik berlainan, ia akan menimbulkan pertelingkahan yang tiada kesudahan sehingga merugikan penduduk setempat.

“Seksyen 10(2) Akta 171 memberi kuasa kepada kerajaan negeri melantik ahli majlis kerajaan tempatan.

“Mereka perlu memberi perhatian sepenuhnya untuk memenuhi kewajiban yang telah dipertanggungjawabkan sebagai ahli majlis,” ujarnya. - Sinar Harian