Skip to main content

Malaysia

PBT diminta kenal pasti tanah rintis kosong untuk pertanian bandar - Exco

SHAH ALAM, 10 Ogos -- Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Datuk Ir Izham Hashim semasa sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Izham semasa sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta mengenal pasti tanah rintis yang masih kosong bagi mengelakkan kawasan itu terbiar dan digunakan oleh pihak tidak berkepentingan termasuk warga asing.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata tanah yang dikenal pasti itu kemudiannya boleh dimohon untuk pajakan sebelum dimanfaatkan menerusi aktiviti pertanian bandar seperti kebun komuniti atau program yang dilaksanakan pihak swasta.

Beliau berkata langkah berkenaan bukan sahaja membolehkan tanah kosong di kawasan bandar diurus dengan lebih teratur, malah dapat mengoptimumkan penggunaannya menerusi kegiatan pertanian bernilai tinggi.

"Kerajaan negeri telah meminta PBT mengenal pasti tanah-tanah rintis dan membuat permohonan pajakan supaya ia boleh digunakan untuk kebun komuniti, program pertanian atau dimanfaatkan oleh pihak swasta yang berminat.

“Ini termasuk (dimanfaatkan) PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) dalam melaksanakan program pertanian supaya penggunaannya lebih teratur dan tersusun," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) berhubung cadangan penggunaan tanah rintis untuk menjalankan aktiviti pertanian bandar  dalam usaha mengelakkan kawasan itu dikuasai warga asing.

Antara PBT yang telah melaksanakan inisiatif itu secara berperingkat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Izham berkata Program Pertanian Bandar (Kebun Komuniti) terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila jumlah projek meningkat daripada 39 melibatkan 390 peserta pada 2024 kepada 66 projek dengan penyertaan 990 peserta pada 2025.

Beliau berkata dalam tempoh sama, jumlah pengeluaran hasil pertanian turut meningkat daripada 33.6 tan kepada 49.9 tan, manakala lebih 200 kawasan Kebun Komuniti telah diwujudkan di kawasan PBT.

Perkembangan itu bukan sahaja memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti pertanian bandar, malah membantu meningkatkan pengeluaran makanan pada peringkat komuniti dan memperkukuh agenda keterjaminan makanan di Selangor.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement