KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap enam lagi suspek kes 'kubur besar Wang Kelian' akan dapat dihadapkan ke muka pengadilan kata Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin.

Beliau berkata pihaknya percaya keenam-enam suspek itu, kini berada di luar negara.

"PDRM berharap baki enam lagi suspek ini berjaya ditahan dan dapat diserahkan kepada kerajaan Malaysia kelak," katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah, hari ini empat suspek warga Thailand telah dituduh di Mahkmah Seksyen Kangar di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Pihak PDRM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk kerajaan Thailand dalam menjayakan proses ekstradisi Op Wawasan Khas Wang Kelian ini," katanya.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang dikenali sebagai kes kubur besar Wang Kelian, yang telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat dari dalam dan luar negara.

Selepas menjalankan siasatan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Jan 2017, dan kedua-dua negara telah berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015, diekstradisi ke Malaysia semalam, bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

-- BERNAMA