KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penglibatan kanak-kanak semuda 13 tahun dalam penghasilan kandungan animasi berunsur seksual, sekali gus mencerminkan trend baharu jenayah eksploitasi seksual dalam talian yang semakin membimbangkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, penemuan itu susulan penahanan lapan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 14 hingga 16 September lalu.
Katanya, siasatan mendapati sebahagian suspek bukan sahaja memuat turun bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan sendiri kandungan animasi sebelum diedarkan atau dijual secara dalam talian.
“Ada suspek yang menjadi lebih kreatif dengan menghasilkan animasi anime sendiri sebelum menjual kandungan tersebut di pasaran menggunakan kaedah pembayaran seperti e-dompet dan PayPal.
“Trend ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan penglibatan aktif dalam penghasilan kandungan... bukan sekadar penggunaan,” katanya pada sidang media Ops Pedo Bersepadu 3.0 di Bukit Aman, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara suspek termuda yang ditahan ialah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
"Siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit memperoleh pengetahuan berkaitan aktiviti tersebut menerusi platform dalam talian," katanya.
Tambahnya, kanak-kanak yang terlibat lazimnya berinteraksi dalam komuniti maya yang mempunyai minat dan kecenderungan sama sebelum berkongsi bahan atau maklumat sesama mereka.
“Kita melihat pengaruh media sosial, akses internet tanpa kawalan serta teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyumbang kepada perkembangan trend ini.
“Sebab itu pemantauan berterusan oleh ibu bapa sangat penting kerana kanak-kanak hari ini lebih terdedah dan lebih mahir menggunakan teknologi digital,” katanya.
Mengulas lanjut, Kumar berkata pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk membendung jenayah berkenaan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan melibatkan keluarga, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan bagi meningkatkan kesedaran moral serta keselamatan dalam talian.
Beliau menegaskan jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian kini merupakan ancaman kritikal yang memerlukan tindakan menyeluruh daripada semua pihak bagi melindungi golongan tersebut daripada terus menjadi mangsa atau pelaku.