BUTTERWORTH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang melaksanakan 38 inisiatif menerusi 14 program dalam tempoh sebulan bagi mentransformasikan kawasan berisiko atau blackspot kepada persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa untuk masyarakat.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata projek Whitening the Blackspot itu melibatkan 41 agensi kerajaan dan swasta dengan menumpukan kawasan yang dikenal pasti menimbulkan rasa tidak selamat, berisiko tinggi dan tidak selesa, termasuk lokasi gelap, kotor, bangunan terbiar serta kawasan rekreasi yang tidak terurus.
Beliau berkata projek itu mempunyai tiga matlamat utama iaitu mentransformasikan kawasan blackspot kepada kawasan yang lebih selamat, mengurangkan peluang jenayah di kawasan hotspot serta mewujudkan kejiranan yang lebih harmoni dan selamat.
“Sebagai contoh, dalam kawasan kampung ada bangunan terbiar yang menjadi tempat penagih, di taman juga ada tempat rekreasi kanak-kanak yang tidak tersusun, lampu tidak ada, kerusi atau bangku tiada atau rosak, selain tempat yang kotor dan gelap.
“Jadi, menerusi inisiatif ini kita mahu mengubah kawasan itu menjadi bersih, kemas dan ada cahaya supaya kanak-kanak dan masyarakat boleh menggunakan kawasan itu dengan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, manakala hadir sama isterinya Puan Sri Munirah Che Rose serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin.
Lim berkata 38 inisiatif itu dicadangkan oleh lima ketua polis daerah Pulau Pinang meliputi dua program dengan enam inisiatif di Timur Laut serta dua program dengan lapan inisiatif di Barat Daya.
Katanya usaha lain merangkumi tiga program dengan enam inisiatif di Seberang Perai Utara, lima program dengan 13 inisiatif di Seberang Perai Tengah serta dua program dengan lima inisiatif di Seberang Perai Selatan.
Beliau berkata empat objektif ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh sebulan iaitu meningkatkan keberkesanan pencegahan jenayah, memperkasakan kerjasama rentas agensi, mentransformasikan persekitaran kawasan berisiko kepada kawasan selamat serta merancakkan penglibatan komuniti.
“Kalau PDRM bertindak secara solo, objektif tidak akan dapat dicapai.
“Bagi menjayakan projek ini, kita menjemput rakan-rakan daripada masyarakat setempat, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semua pihak perlu melaksanakan peranan kerana keselamatan merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata lima pendekatan digunakan dalam pelaksanaan projek itu iaitu pencegahan jenayah, penguatkuasaan, penambahbaikan keselamatan persekitaran, program kemasyarakatan dan pendidikan keselamatan.
Lim berkata projek itu turut menggunakan pendekatan broken window theory and blue ocean strategy dengan memanfaatkan strategi serta inisiatif sedia ada bagi mempercepat pelaksanaannya.
"Penilaian akan dibuat selepas tempoh sebulan bagi melihat perubahan trend jenayah di kawasan blackspot, keadaan keselamatan persekitaran berdasarkan pendekatan Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED), maklum balas masyarakat serta keberkesanan tindakan yang dilaksanakan dan sekiranya positif, kita rancang untuk mengembangkan projek ini ke fasa kedua dan ketiga,” katanya.
-- BERNAMA