PDRM selamatkan 49 wanita Indonesia mangsa pemerdagangan manusia di Klang

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri M. Kumar berkata 14 individu turut ditahan termasuk dalang utama sindiket yang berselindung di sebalik operasi sebuah syarikat agensi pekerjaan asing. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 49 wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam serbuan di 11 lokasi sekitar Klang, pada Jumaat hingga Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri M. Kumar berkata 14 individu turut ditahan termasuk dalang utama sindiket yang berselindung di sebalik operasi sebuah syarikat agensi pekerjaan asing.
"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 warga tempatan (lapan lelaki, tiga wanita) dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 47 tahun yang direman sehingga hari ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata wanita yang diselamatkan berusia antara 20 hingga 47 tahun dan mereka telah berada di negara ini antara lima bulan hingga 13 tahun.Katanya polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1.05 juta, 71 pasport Indonesia dan tiga kenderaan.
Kumar berkata modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa dengan tawaran pekerjaan di kilang dan syarikat swasta dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000.
"Namun sebaik tiba di Malaysia, mangsa dikurung di lima buah rumah yang disediakan sindiket dan dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah, pembantu kedai makan dan pekerja salon," katanya.
Beliau berkata sindiket turut mengawal pergerakan mangsa dengan menghantar dan mengambil mereka dari tempat kerja selain tidak membayar gaji yang dijanjikan.
"Mangsa juga diugut akan dicederakan sekiranya melarikan diri dari rumah atau tempat kerja," katanya.
Katanya kesemua suspek warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala suspek warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) manakala semua mangsa telah diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami