KUALA LUMPUR: Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan, Dr Amru Al Haz Adnan, telah dipilih sebagai salah seorang Imam Solat Terawih sepanjang bulan Ramadhan di Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom.

Mantan Timbalan Imam Besar, Masjid Negara ini adalah bekas pelajar Darul Quran Jakim sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar diperingkat ijazah sarjana muda dan di Universiti Malaya pada peringkat ijazah sarjana serta Doktor Falsafah.

“Selain memimpin solat terawih sepanjang Ramadhan, saya juga diminta menjadi tenaga pengajar asas tahfiz Al Quran di sana," ujarnya yang juga merupakan bekas Pensyarah Darul Quran Jakim menerusi kenyataan media di Facebook Jakim.

Program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri dibuat menerusi kerjasama antara Jakim dan Pusat Islam Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr. Afifi Al Akiti merangkap Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Negeri Perak.

“Ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan Universiti terbaik dunia kepada JAKIM dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh diperingkat antarabangsa”, ujar Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee  yang turut hadir ke KLIA untuk mengucapkan selamat berlepas kepada Dr Amru.