Pegawai khidmat pelanggan diminta agar membantu semua golongan tanpa prejudis dalam menyalurkan perkhidmatan di kaunter dengan tidak memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melangkau giliran dalam sebarang urusan.

Presiden Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) Datuk Omar Osman berkata mereka seharusnya mengambil inisiatif melakukan pembaharuan dengan mengurangkan sikap pilih kasih berikutan bekerja di kaunter memerlukan mereka berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

"Penjawat awam adalah nadi kepada negara yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan, justeru mereka perlu bersikap adil dan saksama dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.

Jangan disebabkan pelanggan itu merupakan 'geng' yang mempunyai gelaran atau pangkat yang tinggi, mereka dilayan elok, manakala mereka yang bukan sesiapa dan tidak mempunyai gelaran atau pangkat dilayan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan dan Taklimat bersama anggota KUPEKMAS di Pusat Transformasi Bandar di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden KUPEKMAS Melaka Ismail Md Yusof.

KUPEKMAS dilancar pada 19 Julai 2012, merupakan pertubuhan yang memperjuangkan kebajikan dan kepentingan golongan bekas pesara kerajaan dari seluruh negara dan mempunyai lebih 10,000 anggota berdaftar.

Sementara itu, Omar yang juga merupakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam agar sentiasa berusaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjaga disiplin dan imej dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sebaliknya penumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan perkhidmatan awam bersih serta tidak dipandang serong oleh masyarakat.

Selain itu, peranan penjawat awam perlu diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam hari ini dapat dipertingkatkan di samping mengurangkan ketirisan dalam usaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai pada satu tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar lebih ramai lagi pesara kerajaaan di seluruh negara mendaftar diri sebagai anggota KUPEKMAS dengan melayari laman sesawang http://www.kupekmas.com/. - BERNAMA