Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Peguam Negara untuk segera menyemak semua kes hasutan yang masih belum selesai berikutan keputusan untuk menggugurkan dakwaan hasutan terhadap presiden Persatuan Angkatan Tentera Melayu Veteran Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

LFL mempersoalkan alasan 'tidak cukup bukti' yang diberikan untuk menarik balik dakwaan terhadap Mohd Ali, seperti yang dilaporkan dalam akhbar, sedangkan dia memberi ucapan di depan orang ramai dan ucapannya juga yang dirakam oleh ramai yang hadir, termasuk pihak media.

"Peguam Negara perlu diingatkan terdapat kira-kira 27 kes hasutan yang belum selesai di mahkamah, manakala beratus-ratus pemimpin pembangkang, aktivis dan mereka yang menyuarakan rasa tidak puas hati telah ditahan dan disiasat kebelakangan ini," kata kumpulan peguam itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

"Kami ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang tanpa mengira kefahaman politik - satu hak asasi seperti yang diperunutkkan bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," memetik kenyataan itu.

Mohd Ali didakwa kerana ucapannya di luar bangunan Plaza Low Yat pada Julai, di tempat tercetusnya kejadian pergaduhan akibat insiden kecurain telefon pintar.