KUANTAN: Seorang pekebun mengalami kerugian berjumlah RM132,515 selepas diperdaya tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya, lelaki berusia 27 tahun itu telah ditawarkan bayaran sebanyak RM15 bagi tugasan like, follow dan komen ke setiap akaun pengguna aplikasi TikTok yang diberikan kepadanya menerusi WhatsApp pada Selasa lepas.

"Mangsa melakukan tugasan yang diberikan sebelum menyertai satu kumpulan Telegram dan telah mendapat bayaran sebanyak RM45. Mangsa kemudiannya telah diminta sebanyak RM200 oleh pentadbir kumpulan aplikasi itu sebelum diberikan tugasan seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas membuat pembayaran dan menyelesaikan tugasan diberikan, lelaki berkenaan telah mendapat pulangan sebanyak RM240, yang membuatkan mangsa lebih percaya dengan suspek.

"Seterusnya, mangsa telah membuat beberapa transaksi bagi mendapatkan pulangan yang lebih besar menggunakan wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan-rakan sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM132,515," katanya.

Beliau berkata mangsa yang berasa diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan melalui media sosial yang menjanjikan bayaran lumayan.

-- BERNAMA