Skip to main content

Malaysia

'Pekerja asing ditangkap, lampu pasar borong tiba-tiba terpadam'

operasi pasar borong -- Sinar Harian
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Kompleks Pasar Besar Meru, Klang pada Sabtu. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

KLANG: Kompleks Pasar Besar Meru di sini yang awalnya terang dan beroperasi seperti biasa bertukar gelap selepas beberapa minit tangkapan pekerja asing dilaksanakan pihak berkuasa pada Sabtu.

Insiden terbabit terus mencetuskan spekulasi adakah berlaku sabotaj ketika operasi penguatkuasaan yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Operasi kira-kira jam 5.20 pagi itu turut dibantu JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit melihat cubaan segelintir warga asing disyaki pekerja di pasar terbabit melarikan ke arah jalan raya kononnya mahu melepaskan diri.

Malah ada yang berpura-pura dengan berjalan pantas ibarat tiada apa berlaku.

Kira-kira 10 minit kemudian operasi tangkapan warga asing dilaksanakan, lampu pasar borong itu secara tiba-tiba terpadam hingga menyukarkan pasukan operasi melaksanakan pemeriksaan.

Pasukan operasi kemudian terpaksa mengalihkan tempat dokumentasi ke ruang yang lebih terang bagi memudahkan proses semakan dilaksanakan.

Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 54 orang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 48 lelaki dan enam wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun.

"Mereka terdiri daripada empat Indonesia, Bangladesh (16 orang), India (3 orang), Myanmar (29 orang) serta dua Nepal.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas dan tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Jelasnya, pihak majikan sepatutnya mengenal pasti pas pekerja asing dengan sektor yang berkaitan.

Ketika ditanya tentang isu elektrik terpadam, Mohmad Khusairi memaklumkan kemungkinan itu strategi pihak tertentu, namun ia berjaya diselesaikan pihaknya.

"Operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut," ujarnya.

Tegasnya, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan susulan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, seorang etnik Rohingya yang ditahan memaklumkan bekerja di gerai sayur pasar tersebut dengan gaji RM45 hingga RM50 sehari.

"Gaji saya dengan yang lain-lain semua sama. Kerja kedai sayur bayaran macam ini juga," kata lelaki yang mendakwa sudah menetap di Malaysia sejak beberapa tahun lepas. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement