KUALA LUMPUR: Pendekatan pembelajaran sepanjang hayat yang lebih progresif perlu dilaksanakan dalam era ekonomi global yang sentiasa berubah dan mencabar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan melalui Perkeso menyediakan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya untuk pekerja tidak formal.

"Program Bina Kerjaya ini adalah program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah," katanya

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, katanya kerajaan menyediakan laluan pembelajaran sepanjang hayat dalam kemahiran yang ingin rakyat pelajari, sama ada di universiti, institusi TVET, mahupun kemahiran micro credentials yang diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran sekolah yang selesa serta kemudahan yang terbaik buat anak-anak.

"Pelbagai usaha telah kita lakukan, khususnya menambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan (decentralisastion) bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan menambah baik sekolah-sekolah daif.

"Pada masa yang sama, projek JENDELA diteruskan bagi memastikan semua sekolah dilengkapi dengan internet," katanya.