Skip to main content

Malaysia

Pekerja kedai emas didakwa curi cincin, rantai tangan majikan

https://www.sinarharian.com.my/article/780396/berita/semasa/pekerja-kedai-emas-popular-didakwa-curi-cincin-rantai-tangan-majikan
Muhammad Zuhairi (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Seorang pekerja kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin atas pertuduhan mencuri barang kemas milik majikannya.

Tertuduh, Muhammad Zuhairi Khasful Anuar, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembantu jualan kanan didakwa mencuri sebentuk cincin emas dan seutas rantai tangan emas bernilai RM8,154.80 milik majikannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 9 April dan 7 Mei 2026 di sebuah kedai emas cawangan Nilai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin tidak menawarkan jaminan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Iwana Sakinah Mohd Lajis, memohon jaminan rendah dengan memaklumkan tertuduh akan dijamin oleh ibunya yang merupakan suri rumah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV).

Must Watch Video