Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pekerja landskap temukan bom lama di Kuala Nerang

PADANG TERAP, 23 Sept - Anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membawa keluar sebutir bom lama jenis mortar atau 'Unexploded Ordnance' (UXO) untuk dimusnahkan di sebuah kuari di Jalan Universiti Utara Malaysia-Padang Sanai di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Padang Terap Supt Mohd Anuar Junoh berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira 11 pagi daripada seorang pekerja landskap yang menemui objek disyaki bom ketika mencabut dan mencungkil rumput lalang
Anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Kedah membawa keluar sebutir bom lama jenis mortar atau 'Unexploded Ordnance' (UXO) untuk dimusnahkan di sebuah kuari di Jalan Universiti Utara Malaysia-Padang Sanai hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA NERANG: Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) mortar berukuran kira-kira 60 milimeter (mm) ditemukan seorang pekerja landskap ketika sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kuala Nerang dekat sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap Superintenden Mohd Anuar Junoh berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan telah menemukan satu objek yang disyaki bom. 

“Pengadu adalah seorang Pembantu Khidmat Am Unit Landskap di Majlis Daerah Padang Terap. Sebelum penemuan itu, pengadu sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan landskap berkenaan bersama dua lagi rakannya. 

“Mereka sedang membersihkan pokok dan membuang lalang di satu daripada ‘planter box’ di kawasan itu sebelum menemukan satu objek yang menyerupai bom,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata semasa pengadu sedang menjalankan proses mencabut dan mencungkil lalang itu, objek berbentuk bom berkenaan telah terkeluar dari tanah. 

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati terdapat sebutir UXO mortar dalam keadaan berkarat.  

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian. Bom diserahkan kepada UPB IPK untuk tindakan pemusnahan di kuari yang terletak di Jalan UUM Sintok/Padang Sanai,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement