IPOH: Sebuah kilang simen di Hulu Kinta, dekat sini diarahkan menghentikan kerja-kerja pembersihan silo selepas seorang pekerja warga asing maut akibat ditimbus simen mampat, pada Isnin.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak berkata kejadian yang berlaku pada jam 3.15 petang itu melibatkan seorang lelaki yang berusia 26 tahun.

Katanya hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja am bagi sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pembersihan silo di kilang berkenaan.

“Semasa kejadian, mangsa bersama dua orang rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja memecahkan simen yang keras (mampat) pada ‘manhole’ (silo) dengan menggunakan tukul dan rod besi.

“Simen yang berada di dalam silo kemudiannya telah tersembur keluar melalui manhole tersebut dan menyebabkan mangsa terjatuh sebelum ditimbus simen berkenaan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, JKKP Perak memandang serius kemalangan seumpama itu dan tindakan perundangan akan diambil terhadap majikan kilang berkenaan mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Dalam pada itu katanya majikan seharusnya bertanggungjawab dalam mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, dengan membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko sebelum sebarang aktiviti kerja dilakukan.

Jelasnya ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemalangan yang tidak diingini.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),”  katanya lagi.