Seorang lelaki yang cuba membunuh diri kerana tertekan akibat putus cinta, dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Loh Chin Long, 22, seorang pekerja restoran, mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh diri dengan baring atas landasan di Stesen LRT Cheras dan pertuduhan menceroboh kawasan LRT itu tanpa kebenaran pada 14 Okt lepas.

Bagi kesalahan menceroboh, dia dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Loh hanya perlu menjalani hukuman penjara enam hari selepas Majistret Saifulakmal Said memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 14 Okt lepas .

Cuba membunuh diri merupakan kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Loh baring di atas landasan LRT itu namun diselamatkan oleh seorang pengawal di situ. Tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu, peguam mewakili Loh, Muhammad Syazwan Mohd Salleh berkata anak guamnya tidak berniat untuk menceroboh tetapi hilang kawalan diri sehingga menyebabkan dia masuk ke tempat berkenaan.

Beliau berkata Loh juga pada masa itu mengalami tekanan perasaan kerana putus cinta dan berdepan pula dengan keadaan datuknya yang sedang sakit tenat.