Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli hari ini menggesa supaya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji dengan segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum.

Rafizi yang merangkap Setiausaha Agung PKR berkata demikian bagi merujuk jawapan kepada soalan bertulis Rafizi pada 18 Mei lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa KWAP juga mempunyai pelaburan dan pegangan berjumlah RM1.4 bilion dalam empat anak syarikat 1MDB termasuklah Bandar Malaysia Sdn Bhd.

BACA: Pelaburan KWSP dalam 1MDB dijamin kerajaan

“Ini bermakna dari RM1.5 bilion bon yang diterbitkan oleh 1MDB (melalui Bandar Malaysia Sdn Bhd) bagi membiayai penempatan semula operasi ketenteraan di Kem Udara Sungai Besi, RM920.8 juta telah dilanggan oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan baki RM579.2 juta telah dilanggan oleh KWAP,” katanya.

Menurut Rafizi, KWSP secara tidak langsung terdedah kepada risiko kewangan 1MDB melalui pelaburan dan pegangannya yang berjumlah RM1.72 bilion.

“Saya kurang bersetuju dengan pendapat Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bahawa pegangan bon di dalam 1MDB dan anak-anak syarikat janakuasa 1MDB adalah selamat kerana ia dijamin kerajaan,” ujarnya.

Rafizi berkata, masalah kewangan 1MDB telah menjadi satu risiko kewangan besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada keseluruhan Perbendaharaan Negara.

“Oleh kerana banyak hutang 1MDB dijamin Kerajaan Persekutuan, sebarang kegagalan membayar hutang perlulah ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Rafizi.

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, hutang RM42 bilion oleh 1MDB itu berhadapan dengan risiko “cross default” (kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila 1MDB gagal membayar satu hutang) yang boleh membawa kesan besar kepada sistem kewangan negara.

Jika itu terjadi, katanya kepentingan Kerajaan Persekutuan ialah memulihkan sistem kewangan negara dan sebarang tuntutan oleh KWAP, KWSP dan Tabung Haji dikhuatiri akan dilengah-lengahkan.

“Adalah lebih selamat sekiranya KWAP, KWSP dan Tabung Haji mengambil pendirian mencegah lebih baik,” ujar beliau.