MALAYSIA
Pelajar antarabangsa dari 160 negara pilih IPT Malaysia

Dr Zambry (kiri) ketika pelancaran Buku “Education of the Interior: Essays In Honour of Professor Syed Ali Ashraf” pada Majlis Pelancaran INTAS di ISTAC UIAM Kampus Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 139,341 pelajar antarabangsa daripada lebih 160 negara memilih untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia setakat 31 Mac lepas, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata kejayaan itu dipacu oleh ekosistem pendidikan berkualiti tinggi, kos sara hidup berpatutan, tahap keselamatan negara terjamin serta penawaran program akademik diiktiraf di peringkat global.
"Peningkatan ini bukan sahaja memperkaya suasana pembelajaran dengan pelbagai elemen budaya, malah mewujudkan persekitaran pertukaran idea dan pengalaman yang mampu membentuk modal insan berfikiran global," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan itu turut disokong oleh hubungan diplomatik yang kukuh, pengiktirafan bersama kelayakan akademik, kekuatan dalam bidang pengajian berimpak tinggi seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengurusan perniagaan.Selain itu, Zambry berkata Malaysia terus memperkukuh statusnya sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa apabila Universiti Malaya (UM) meningkat ke kedudukan ke-58 dalam QS World University Rankings 2026 berbanding tangga ke-60 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula naik ke kedudukan 126 berbanding 138, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi kedudukan ke-134, masing-masing naik daripada 148 dan 146, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melonjak ke kedudukan 153 berbanding 181.
Bagi sektor swasta, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) kini berada di kedudukan 251, Taylor's University (253), UCSI University (269) manakala Sunway University berjaya menembusi kelompok 500 terbaik dunia di tangga ke-410 setelah melonjak lebih 120 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Dari sudut penarafan dan pengiktirafan global, Zambry berkata peningkatan konsisten dapat dilihat dalam reputasi akademik, kualiti penyelidikan, keterlihatan antarabangsa dan kebolehpasaran graduan, selain beberapa universiti awam negara turut disenaraikan dalam Times Higher Education Asia University Rankings 2024 dalam kelompok 100 terbaik Asia.
"Sinergi antara tenaga akademik tempatan dan rakan antarabangsa terus diperkukuh melalui pelbagai platform kerjasama misalnya program mobiliti akademik untuk pertukaran pensyarah dan penyelidik.
"Lebih 1,200 projek penyelidikan bersama universiti ternama di United Kingdom, Australia, Jepun, Timur Tengah dan ASEAN serta penerbitan artikel berindeks tinggi yang kini mencatat lebih 35 peratus daripada keseluruhan artikel Scopus Malaysia hasil kolaborasi antarabangsa," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami