IPOH: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya dari Lembah Klang yang ingin pulang ke Perak sempena cuti semester 2020/2021 mulai minggu ini diminta tampil membuat ujian saringan COVID-19 secara percuma di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pada masa sama, mereka yang pulang dari Lembah Klang, termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka, juga dinasihatkan supaya melakukan pengasingan kendiri di rumah selama 14 hari, manakala 10 hari dari negeri lain.

Menurutnya, pelajar yang mengalami tanda atau gejala jangkitan COVID-19 diminta segera mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

“Bagi memudahkan pemantauan, para pelajar yang pulang diminta mengisi butiran dan maklumat diri melalui pautan https://forms.gle/h6s4aH8bSYk2fKjs8,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan, mereka boleh menghubungi talian Hotline COVID-19 di talian 05- 2410252/0107 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah  terdekat.

Menurutnya, beliau memahami keinginan anak-anak Perak untuk pulang bertemu dengan keluarga, namun langkah-langkah pencegahan mesti dilakukan demi mengelakkan sebarang risiko jangkitan yang bukan sahaja boleh mengancam kesihatan diri sendiri, malah ahli keluarga yang lain.

“Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon supaya mesej ini dapat disampaikan kepada ibu bapa serta anak-anak Perak yang sudah atau akan pulang bercuti mulai minggu ini,” ujarnya.

Pada 9 Julai lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai 12 Julai lalu.

Menurut kenyataan KPT, mekanisme kawalan pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa iaitu bagi fasa permulaan, hanya pergerakan pelajar tidak tertakluk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan.

Katanya, pergerakan pelajar dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tamat.

Cuti semester IPT bermula 12 Julai sehingga Oktober depan.