Empat pelajar Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Fukui, Jepun pada Ahad, 22 Oktober lalu kni memerlukan bantuan.

Salah seorang pelajar, Farah Fauzi, 21, memerlukan dana bagi menampung kos pembedahan setelah mengalami kecederaan yang teruk di leher, bahu, tangan kiri dan pinggul kiri.

Abang mangsa, Fahmi Fauzi berkata paru-paru dan hati adiknya tertusuk ketika kemalangan tersebut. Beliau berkongsi berita tersebut di laman Facebook miliknya.

Fahmi Fauzi berkongsi berita tersebut di laman Facebooknya.

Ibu mangsa, Hani Fuziah Abd Rahman yang kini berada di sana berkata, selepas mendapat berita tersebut dia bergegas ke Jepun untuk melawat anaknya.

“Alhamdulillah Farah dalam keadaan stabil sekarang. Esok satu pembedahan akan dilakukan kepadanya,” katanya semasa dihubungi ASTRO AWANI.

Pada masa sama, Ikatan Persaudaraan Islam Jepun (IPIJ) turut berkongsi kejadian tersebut melalui laman Facebooknya.

Susulan itu, IPIJ turut menganjurkan kutipan dana buat tiga orang pelajar yang lain iaitu Mohamad Izwan Mohd Aliyas, Mohamad Syafiq Basir dan Amil Haqeem Zainal Arifin. Mereka kini di rawat di Hospital Fukui.

Sumbangan boleh disalurkan melalui IPIJ. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada wakil IPIJ, Muhd Zulhilmi Azman menerusi talian +8107015641995.