KUALA LUMPUR: Rakan sekolah kepada mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan pelajar Tingkatan Empat itu di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, pada Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata suspek lelaki berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam di sekitar Yong Peng selepas polis menerima maklumat mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah, kira-kira jam 5.50 petang.
Menurutnya, suspek kini direman selama enam hari bermula Ahad selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Batu Pahat.
"Suspek dan mangsa merupakan pelajar di sekolah yang sama serta saling mengenali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ab Rahaman berkata mangsa yang mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada Ahad," tambahnya.
Menurut Ab Rahaman, polis turut merampas sebuah telefon pintar, sepasang pakaian dan sepasang selipar milik suspek bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Difahamkan, mangsa ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya itu masih belum pulang ke rumah selepas kelas tambahan.
Mangsa dikatakan tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.