NATIONAL
Pelajar MRSM dilaporkan hilang ditemukan selamat di Chukai

Yahaya berkata pelajar itu dikesan berada di rumah terbabit kira-kira pukul 7 pagi berdasarkan hasil siasatan awal dan maklumat daripada keluarga. - Gambar fail
KUANTAN: Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan yang dilaporkan hilang semalam di sini, ditemukan selamat di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu pagi tadi.
Ringkasan AI
- Pelajar MRSM Pekan yang hilang ditemukan selamat di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu pagi tadi.
- Polis merampas dadah bernilai lebih RM84 juta dengan 4,839 tangkapan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, meningkat berbanding tahun lepas.
- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuka 817 kertas siasatan dengan kerugian RM26 juta dan 8,183 kes kemalangan dilaporkan, termasuk 146 kemalangan maut dalam tempoh Januari hingga April 2025.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Azry Akmar Ayob.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dilaporkan berkata remaja itu dikatakan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.
Sementara itu, Yahaya dalam ucapannya berkata polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM84 juta dengan 4,839 tangkapan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lepas dalam tempoh yang sama, iaitu hanya RM8.2 juta nilai rampasan direkodkan manakala jumlah tangkapan sebanyak 4,810.
"Sebanyak 190 kes telah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dari Januari hingga April tahun ini berbanding 220 kes bagi tempoh sama. Polis juga berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan melibatkan enam tangkapan menerusi Op Indera," katanya.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah membuka sebanyak 817 kertas siasatan membabitkan kerugian sebanyak RM26 juta dengan daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 333 kertas siasatan.
Sementara itu, Yahaya berkata pada tempoh Januari hingga April 2025, sebanyak 8,183 kes kemalangan dilaporkan manakala 146 kes merupakan kemalangan maut.
"Dalam tempoh sama sebanyak 99,840 saman telah dikeluarkan berbanding 63,194 saman pada 2024. Jumlah kutipan kompaun pula sebanyak RM1.35 juta bagi 2025 berbanding RM1.39 juta pada tahun sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami