TAWAU: Tindakan sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah, di sini, menunggang motosikal secara merbahaya di kawasan Airport Lama, mengundang padah apabila dikenakan saman, Rabu lalu.

Malah, motosikal ditunggang mereka turut disita oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam berkaitan aktiviti menunggang motosikal secara merbahaya di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan sebanyak 14 motosikal disita oleh pegawai dan anggota BSPT IPD Tawau.

"Semua pelajar berusia 17 tahun dan motosikal dibawa ke pejabat trafik manakala ibu bapa serta penjaga remaja terbabit diarah tampil ke IPD Tawau.

"Sebanyak 13 keping saman dikeluarkan ketika penguatkuasaan berkenaan yang membabitkan kesalahan membenarkan memandu kenderaan tanpa lesen.

"Selain memandu di bawah usia 17 tahun,pelajar tersebut juga tiada lesen memandu, kenderaan tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran kenderaan dan lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Semua pelajar berusia 17 tahun dan motosikal dibawa ke pejabat trafik manakala ibu bapa serta penjaga remaja terbabit diarah tampil ke IPD Tawau. - Foto PDRM

Sementara itu, Jasmin berkata, ibu bapa diminta supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka terutama selepas waktu persekolahan.

"Langkah ini supaya mereka terhindar daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.