NATIONAL
Pelajar SPM dapat 10A dijamin tempat, biasiswa penuh di UniKL, UPTM - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bersama sebahagian Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) pada Pelancaran Skuad YPM di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini. - Gambar/ Bernama
KUANTAN: Pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi jaminan akan mendapat tempat di dua institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam SPM dijamin tempat dan biasiswa penuh di UniKL dan UPTM di bawah MARA, manakala pelajar 5A hingga 10A turut diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi tersebut.
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggalakkan pelajar kurang cemerlang akademik untuk menyertai program TVET, yang kini mencatat permohonan tinggi, dengan lebih 1,398 institusi ditawarkan di seluruh negara.
- Kerajaan Persekutuan dan Negeri Pahang memperkukuh komitmen terhadap pendidikan melalui peruntukan besar kepada MARA dan program pembangunan kepimpinan muda seperti Pahang Lead, yang melibatkan lebih 261,000 pelajar.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Skuad YPM digerakkan sebagai platform untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar luar bandar dan B40, di samping memupuk nilai kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyarankan pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik agar menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di 1,398 institusi seluruh negara.
"Biarpun permohonan bagi kemasukan ke institusi TVET bagi sesi Julai ini baru dibuka pada 15 April, saya amat bersyukur kerana jumlah permohonan telah melonjak kepada 126,000," katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan memohon peruntukan lebih RM4 bilion bagi perbelanjaan MARA dalam belanjawan tahun depan, yang akan dibentangkan pada Oktober ini.
Beliau berkata peruntukan berkenaan antara lain bagi memperkasakan agenda anak bangsa, termasuk bagi menjalankan pelbagai program pendidikan yang memanfaatkan golongan muda.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperkukuh komitmen melahirkan barisan kepimpinan muda menerusi Program Pahang Lead, dengan meluluskan peruntukan RM2 juta bagi pelaksanaannya tahun ini.
Beliau berkata program yang mula diperkenalkan pada 2024, merupakan inisiatif strategik kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Pendidikan Pahang, membabitkan lebih 261,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.
Kerajaan Negeri Pahang turut menyalurkan dana RM500,000 bagi menyokong inisiatif pendidikan di bawah YPM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami