MALAYSIA
Pelajar universiti mengaku tidak bersalah tikam leher bekas kekasih

You Wei membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norazlin Othman. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Seorang pelajar universiti swasta warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menikam leher bekas teman wanitanya, minggu lepas.
Ringkasan AI
- You Wei, pelajar China, didakwa menikam bekas teman wanitanya di leher dengan pisau di universiti swasta Bandar Sunway pada 14 Julai, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon jaminan atas faktor kerjasama serta rawatan penyakit bipolar; mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan.
- Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September; tertuduh perlu serah pasport, melapor diri ke balai polis dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat dua sebuah universiti swasta di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini kira-kira 6.30 petang pada 14 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Peguam Revin Kumar yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah mempertimbangkan jaminan atas budi bicara, dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan bersedia mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan.
"Tertuduh juga sedang menerima rawatan bagi penyakit bipolar dan mengambil ubat di sebuah klinik swasta. Tertuduh akan mematuhi syarat-syarat tambahan seperti serahan pasport dan melapor diri ke balai polis," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin selain tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah, melapor diri ke balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Sept ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami