Pelakon lelaki dan rakannya yang ditahan polis di di Pagoh di sini, semalam dipercayai terbabit dengan sindiket dadah yang mahu memindahkan pusat pemprosesan dadah mereka di Kuala Lumpur ke daerah ini, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata ini berdasarkan penemuan beberapa peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah dipercayai jenis syabu dalam kenderaan dinaiki pelakon dan lelaki itu.

"Kami percaya mereka (sindiket) baharu sahaja pindah dari sebuah kawasan di Kuala Lumpur ke daerah ini dan jika dilihat dari segi kelengkapannya, ia (peralatan) mampu memproses sehingga 5kg dadah pada satu-satu masa," kata Azman dalam sidang media, di sini Sabtu.

Pelakon berumur 36 tahun itu dan rakannya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Pagoh semalam selepas polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 1.38kg dalam kenderaan yang dinaiki mereka.

Azman berkata polis turut menjumpai beberapa botol plastik yang dipercayai mengandungi bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah iaitu satu corong kaca, tujuh balang kaca, satu getah paip, satu alat pengering dan satu dapur elektrik dalam but kereta mereka.

"Kesemua dadah dirampas itu dianggarkan bernilai RM660,000," katanya dan menambah, ini merupakan sebahagian daripada kejayaan polis membanteras kegiatan dadah di Muar dari awal tahun hingga semalam.

"Setakat semalam, nilai pelbagai jenis dadah yang kami rampas bagi 234 kes tahun ini adalah bernilai RM2 juta dan kami akan pergiatkan lagi usaha untuk memastikan kegiatan dadah di daerah ini gagal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata sebanyak 51 wanita asing berusia antara 19 hingga 40 tahun ditahan dalam 13 serbuan di pusat hiburan dari 1 Jan lepas hingga semalam.

Katanya mereka terdiri 25 warga Vietnam, enam warga China dan 20 warga Thailand ditahan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran dan bekerja tanpa permit yang sah.

Pemilik pusat hiburan berkenaan disiasat kerana menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa izin, katanya.