NATIONAL
Pelakon veteran Noor Azizah selamat dikebumikan

Nik Hussain (kiri) yang dibantu menantunya, Nur Zulaikha Azman, 35, menyiram pusara Noor Azizah selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh pada Isnin. -Sinar Harian
IPOH: Jenazah pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya awal pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini pada Isnin.
Ringkasan AI
- Jenazah pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, yang meninggal dunia akibat sesak nafas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh.
- Noor Azizah dikenali sebagai seorang peramah, lemah lembut, rajin memasak, dan pemurah, sering bersedekah kepada rumah anak-anak yatim.
- Noor Azizah dikenang menerusi peranannya dalam filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee pada 1969, dan kemunculan terakhirnya dalam filem Soal Hati pada 2000.
Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, bersama dua anak iaitu Khairena Abd Rashid, 38, dan Khairi Nik Hussain, 34.
Menurut Khairena, pemergian Allahyarham amat mengejutkan apabila mereka sempat makan malam bersama dan menyaksikan bunga api.
"Pagi tadi bapa dapatkan saya sekitar jam 1 pagi ketika ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan ibu, saya mula rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ambulans.
"Setibanya ambulans, ibu sudah tidak sedar diri dan ketika pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan sudah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd Rahman, 69, berkata, Noor Azizah dikenali keluarga sebagai seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.
Katanya, pelakon veteran itu juga amat pemurah dan tidak lokek memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
"Setiap tahun arwah akan bersedekah termasuk 10 rumah anak-anak yatim malah di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan.
"Kali terakhir saya berjumpa arwah semalam ketika datang beraya ke rumahnya. Dia nampak gembira seperti biasa selalu ketawa," katanya.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave ketika ditemui pula menyifatkan pemergian Allahyarham Noor Azizah satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.
Allahyarham Noor Azizah dikenang menerusi peranannya dalam filem Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1969, yang melonjakkan namanya di persada perfileman Melayu.
Noor Azizah mula membuat kemunculan pertama dalam dunia perfileman pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong selain pernah membintangi filem Malin Kundang (1971) di Indonesia bergandingan dengan aktor popular Rano Karno.
Pada 1977, beliau turut berpeluang membintangi produksi luar negara menerusi drama bersiri Australia berjudul Bailey Bird, memegang watak sebagai Dr Susan Lim dan filem Soal Hati pada 2000 menjadi kemunculan terakhir Allahyarham dalam dunia lakonan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami