KUALA LUMPUR: Polis menahan semula seorang pelakon wanita bersama suaminya, kali ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pasangan terbabit ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.
Advertisement
Menurutnya, penahanan terbaharu itu dibuat selepas pasangan berkenaan sebelum ini ditahan pada Rabu di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.
Ia dibuat susulan laporan polis oleh seorang ahli perniagaan berusia 56 tahun di Seremban, yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim, pasangan tersebut direman selama tiga hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini turut melaporkan bahawa pelakon wanita berkenaan bersama suaminya juga disiasat berhubung satu lagi kes penipuan melibatkan tawaran darjah kebesaran yang mengakibatkan kerugian sekitar RM23,000.
Menurut Azahar, polis menerima laporan berkaitan kes tersebut pada 18 Disember tahun lalu dan tempoh reman pasangan terbabit turut disambung sehari lagi bagi melengkapkan siasatan.