PUTRAJAYA: Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan ditangguhkan kerana sistem tersebut berjalan lancar dan pemantauan dalam aspek keselamatan akan terus dilakukan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, Jemaah Menteri menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pertama bagi tahun 2024 juga tidak memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem itu.

”Jemaah Menteri tidak memutuskan sedemikian kerana pada waktu ini kita dapati sistem tersebut berjalan dengan lancar, isu yang dibangkitkan telah berjaya diselesaikan dalam jangka masa yang sangat singkat.

“Pemantauan dalam aspek keselamatan terus dilakukan jadi tidak timbul isu untuk menangguhkan,’’ katanya.

Pendaftaran PADU tidak akan ditangguhkan


Fahmi berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming yang menggesa PADU digantung sementara sehingga kelemahan keselamatan sistem itu dibaiki.

Kian Ming berkata, beliau mengesan dan menerima maklum balas daripada orang ramai berhubung kelemahan dan keselamatan sistem PADU.

Menurutnya, mereka yang sedang menerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (STR) tetapi tidak layak kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan tanah milik mereka tidak akan mengisi maklumat yang tepat di PADU.. 

Pada masa sama, Fahmi mengumumkan bahawa lebih 230,000 pengguna selesai mendaftar dengan PADU setakat jam 10 pagi Rabu.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 71 peratus selesai dengan proses EKYC (kenali pelanggan anda menerusi platform digital) iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran sistem PADU.