Skip to main content

Malaysia

Astro AWANI raih anugerah Majlis Apresiasi Media JKKN

Sumber: Astro AWANI
Dr Azlinariah (dua dari kiri) menerima plak penghargaan daripada Mohd Amran (dua dari kanan) pada Majlis Apresiasi Media 2025 di Kuala Lumpur malam tadi. Turut serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Mohd Radzi Omar.

KUALA LUMPUR: Astro AWANI antara penerima Anugerah Media Elektronik (TV) kategori Berita/Liputan pada Majlis Apresiasi Media 2025 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Saloma Kuala Lumpur, malam tadi.

Anugerah diterima menerusi liputan berita mengenai Iftar@KL yang disiarkan di platform AWANI 7:45.

Advertisement

Penghargaan disampaikan Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris kepada Editor Kanan dan Penerbit AWANI, Dr. Azlinariah Abdullah.

Antara lain, majlis berkenaan dilaksanakan bagi mengiktiraf peranan pengamal media dalam membantu JKKN mengangkat martabat seni dan budaya negara agar terus subur dan dihargai.

Liputan berkaitan JKKN turut melibatkan 28 saluran radio, 59 siaran televisyen, 213 artikel akhbar serta 15 sidang media, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap seni dan budaya tempatan.

Dalam ucapannya di majlis itu, Mohd Amran berkata, hubungan erat antara JKKN dan media menjadi pemangkin utama dalam memastikan seni dan budaya negara terus mendapat tempat di hati masyarakat

"Sepanjang 2025, JKKN berjaya menembusi setiap lapisan masyarakat dan ini bukan usaha sebelah pihak, sebaliknya hasil sinergi kukuh antara JKKN dan media yang sentiasa komited menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Dalam hal ini, media bukan sekadar penyampai berita, tetapi rakan strategik yang menjadi nadi dalam memastikan mesej kerajaan sampai dengan tepat, jelas dan berkesan," kata beliau.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, keseluruhan program JKKN mencatatkan nilai perhubungan awam (PR) yang memberangsangkan sebanyak RM73.9 juta, jauh mengatasi nilai keseluruhan Unit Komunikasi Korporat yang berjumlah RM1 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata, JKKN akan terus memperkukuh perancangan strategik selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2026-2030.

Bagi tahun 2026, katanya, sebanyak 374 program dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara merangkumi 207 Indeks Prestasi Utama (KPI).

"Antara program yang dirancang termasuk 15 program pelancongan budaya, program asuhan dan kemahiran, penyelidikan dan perantisan, festival teater zon, panggung seni tradisional serta pelbagai inisiatif lain yang mendekatkan masyarakat dengan seni dan budaya," ujar Mohd Amran.

Must Watch Video