LENGGONG: Perak mahu menjadi Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia menjelang tahun 2030.

Ia juga adalah antara strategi untuk mengurangkan kebanjiran keluar bakat muda dari negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini terdapat lebih 100 buah institusi pendidikan di Perak dengan sekurang-kurangnya 62 darinya menyediakan subjek TVET.

"Kita nak kan orang muda Perak supaya mengambil peluang untuk mereka mendapat ilmu dan kemahiran daripada mana-mana institusi TVET yang menyediakan subjek berkaitan dengan kemahiran TVET ini.

"Ini kerana macam saya katakan tadi menjelang 2030 nanti apabila lebih banyak kilang perusahaan akan datang ke Perak dan lebih banyak peluang pekerjaan sudah tentu mereka akan memberi keutamaan kepada orang yang nempunyai sijil TVET," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Konvokesyen Program Empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (EmpowerNCER) di Kolej Pengajian Tinggi Mara Lenggong, pada Selasa.

Menurutnya, dengan kemahiran yang dimiliki, peserta juga boleh menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kemahiran masing-masing.

Pada majlis itu, seramai 400 peserta menerima sijil selepas menjalani pelbagai kursus kemahiran seperti bakeri, kulinari, kimpalan, menjahit dan dandanan.

Setakat ini, kira-kira 2,400 warga Perak telah mengikuti program EmpowerNCER.