KUANTAN: Pengurusan sektor pelancongan Perak memilih Enakmen Hotel (Pahang) 2020 Kerajaan Pahang untuk dijadikan model dan rujukan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ia melibatkan yuran lestari dan produk pelancongan yang ditawarkan di negeri ini.

"Kita telah dikunjungi oleh delegasi Kerajaan Negeri Perak bagi membincangkan berkenaan sektor pelancongan.

"Kerajaan Perak ingin mengetahui pengalaman kerana kita di sini telah menetapkan yuran lestari kepada hotel.

“Mereka bertanyakan kaedah dan cara kita melaksanakan perkara tersebut. Kita juga membincangkan berkenaan produk-produk pelancongan baharu dan cara untuk kita meneruskan industri pelancongan selepas COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Lawatan Kerja Kerajaan Negeri Perak ke Negeri Pahang bagi sektor pelancongan di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Jelas Mohd Sharkar, pertemuan ini juga memberi ruang kepada Perak untuk menggunakan enakmen dan kaedah yang digunakan Pahang mengikut acuan mereka sendiri.

“Mereka hanya menggunakan Pahang sebagai model. Sesuai atau tidak, akan dikaji dan dibaiki oleh Kerajaan Negeri Perak.

“Kerana, apa yang dijalankan di Pahang tidak semestinya sesuai dilaksanakan di Perak, dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pertemuan ini juga membolehkan Kerajaan Negeri Pahang mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan Perbadanan Taman-taman Negeri daripada Kerajaan Negeri Perak.

“Kita juga belajar perkara baharu daripada Perak kerana mereka telah pun ada Perbadanan Taman-taman Negeri tetapi kita baharu sahaja tubuhkan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pahang dan Perak juga bukan perkara baharu memandangkan Perak sebelum ini mengguna pakai sistem e-perumahan daripada Pahang.

"Kita juga pernah mengunjungi Perak bagi melaksanakan Sistem Perumahan Negeri kerana kerjasama seperti ini merupakan perkara biasa,” katanya.